Wednesday 31 October 2012

WANITA MENCARI JODOH: Apakah Kriteria Lelaki Yang Paling Ideal?


WANITA MENCARI JODOH: Apakah Kriteria Lelaki Yang Paling Ideal?
Oleh:  Husna Abdul Wahab 
Majalh Sinar Rohani, Oktober 2004 
   
Sering kita mendengar maksud sepotong hadith yang berbunyi,  “Dikahwini 
wanita itu (untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, 
keturunannya, kecantikannya dan agamanya.  Maka utamakanlah (dalam 
pemilihanmu itu) wanita yang kuat  beragama, nescaya sejahtera hidupmu” 
(Riwayat Bukhari dan Muslim). 

Secara umumnya hadith ini menyenaraikan tentang ciri-ciri wanita yang 
biasanya menarik perhatian lelaki untuk dijadikan calon isteri.  Wanita yang kaya, 
berharta, berdarjat tinggi dancantik jelita adalah pakej lengkap yang meruntun 
hati kaum lelaki untuk menyuntingnya. 

 Namun yang lebih penting hadith di atas menyarankan kepada kaum lelaki 
agar memilih bakal isteri yang memiliki ciri “kuat penghayatan agamanya”.  Ini 
disebabkan wanita yang melaksanakan  segala ajaran agama akan memberikan 
pengaruh serta kesan yang besar terhadap kebahagiaan hidup berumahtangga. 
 Bagaimana pula ciri-ciri lelaki yang baik untuk dijadikan suami?  Jika 
hadith di atas memberi panduan kepada kaum lelaki dalam memilih bakal isteri 
mereka, maka di samping itu Islam juga memberi panduan kepada kaum wanita 
dalam memilih bakal suami mereka. 

 Hal ini disebabkan aspek memilih  jodoh bukanlah perkara yang boleh 
dipandang mudah.  Ia tidak boleh dilakukan dengan terburu-buru atau tanpa 
penilitian yang mendalam.  Ini disebabkan perkahwinan melibatkan soal 
kehidupan, zuriat, hak, tanggungjawab dan kasih sayang yang bakal kita jalani 
besama dengan pasangan. 

 Lebih-lebih lagi bagi seorang wanita, ia perlu menyelidik terlebih dahulu 
latar belakang bakal suaminya dari segi akhlak serta penghayatan agamanya.  
Ini kerana menurut kajian, kaum wanitalah yang  paling teruk menerima kesan 
buruk apabila suami mengabaikan hak isteri, tidak mempergauli isteri dengan 
baik, curang, tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga dan 
sebagainya. 

 Adalah menjadi kewajipan ibu bapa memberikan panduan yang baik bagi 
anak-anak perempuan mereka mencari bakal suami dari kalangan lelaki yang 
berakhlak tinggi dan taat pada ajaran agama.  Rasulullah SAW bersabda yang 
bermaksud: “Jika seorang lelaki datang untuk meminang anak perempuan kamu 
dan kamu redha (berpuas hati) tentang agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia (dengan anak perempuan kamu).  Jika hal itu tidak kamu lakukan, akan 
berlakulah fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar”.

 Sesungguhnya sifat-sifat inilah (baik akhlak dan agama) yang mesti 
dijadikan kriteria utama di dalam memilih bakal suami sebelum dilihat atau dipilih 
pada sudut harta, pangkat dan kedudukan lelaki tersebut.  Lelaki yang 
sederhana kehidupannnya tetapi berakhlak mulia serta taat melaksanakan segala 
perintah Allah SWT  dan rasul-Nya itulah sebenarnya seorang yang kaya, 
sebaliknya lelaki fasik (ingkar kepada suruhan Allah SWT ) walaupun hidup kaya 
raya, hakikatnya ia adalah miskin. 

 Mengapa demikian?  Kerana kefasikan hidup akan melesapkan harta 
kekayaan melalui aktiviti  perujudian, minuman keras, berkunjung ke tempattempat maksiat, berfoya-foya dan sebagainya.  Hak-hak isteri dengan sendirinya 
hilang dan terabai.  Isteri hidup dalam tekanan perasaan kerana tanggungjawab 
terhadap keluarga dan anak-anak dilupakan.  Inilah yang dimaksudkan oleh 
Rasulullah SAW dalam hadis di atas sebagai “fitnah di muka bumi dan kerosakan 
yang besar”. 

 Suami yang hidup dalam kefasikan  bermakna mengundang murka Allah 
SWT.  Jika Allah SWT sudah murka, bagaimanakah rahmat dan keberkatan hidup 
berumahtangga akan dapat dinikmati? 

 Diriwayatkan dalam sebuah kisah, seorang lelaki datang menemui Hasan 
bin Ali RA (cucu Rasulullah SAW) untuk meminta nasihat.  Katanya, “Anak 
perempuanku dipinang oleh beberapa  orang lelaki.  Dengan lelaki yang 
bagaimanakah yang layak dikahwinkan  dengan puteriku?”  Hasan menjawab, 
“Kahwinkanlah dia dengan lelaki yang bertakwa kepada Allah, kerana jika ia 
menyukai isterinya ia pasti mengasihinya, teteapi jika ia tidak menyukai isterinya 
pasti ia tidak akan berlaku zalim terhadapnya (tetap menghormati isterinya)”. 

 Prof. Dr. Miqdad Yaljan dalam bukunya bertajuk  “al-Bayt al-Islami Kama 
Yanbaghi An Yakun” menulis: Soal perkahwinan adalah persoalan hidup 
keseluruhannya.  Lebih-lebih lagi kaum wanita dalam membuat penelitian 
terhadap bakal suami.  Ini  kerana kuasa talak terletak di tangan suami mereka. 

 Menurut beliau lagi, sekiranya perceraian berlaku, ia akan lebih 
mendatangkan kemudaratan kepada wanita berbanding lelaki sama ada dari 
sudut sosial, psikologi dan ekonomi.  Tambahan lagi pandangan negatif 
sesetengah masyarakat kepada wanita bergelar janda menambahkan lagi 
tekanan perasaan mereka.  Malah perasaan malu akibat perceraian lebih dirasai 
oleh golongan wanita berbanding lelaki.  Rasulullah SAW juga amat benci  kepada mana-mana bapa (atau wali) yang mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang fasik.  Baginda 
mengingatkan dalam sabdanya yang bermaksud:   “Sesiapa yang menikahkan 
anak perempuannya dengan lelaki fasiq bererti ia telah memutuskan hubungan 
silaturrahim dengan anaknya sendiri”. 

 Lihatlah betapa tegasnya Rasulullah SAW dalam menggesa para ibu bapa 
agar mengahwinkan anak perempuan  mereka dengan lelaki yang beriman dan 
menjauhi dari mengahwinkannya dengan lelaki yang fasik. 
 Apakah fitnah atau malapetaka  yang lebih besar selain daripada 
menikahkan anak-anak yang berjiwa  bersih, berperibadi mulia dan taat 
menjalankan suruhan agama  dengan lelaki yang tidak menghiraukan perintah 
Allah SWT dan bergelumang pula dengan maksiat? 
 Kita melihat bahawa berapa ramai anak-anak perempuan yang ketika 
berada di bawah naungan keluarganya tidak pernah melakukan maksiat, tetapi 
apabila berkahwin dengan lelaki fasik, mereka terus hanyut dalam arus maksiat 
yang diterajui oleh suami mereka sendiri. 
 Gadis yang pada mulanya berperibadi mulia, akhirnya terseret jauh oleh 
kesesatan suaminya.  Memakai pakaian yang mendedahkan aurat, meninggalkan 
solat dan bentuk-bentuk ibadah lainnya.  Semua ini jelas merupakan kerugian 
yang nyata sekali bagi dirinya. 

 Oleh sebab itu, amat wajarlah Rasulullah SAW menghukum mana-mana 
bapa atau wali yang mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang 
fasik, yang seolah-olah dia memutuskan hubungan silaturrahim dengan anak 
perempuannya sendiri. 

 Kesimpulannya, kaum wanita perlu lebih teliti dan berhati-hati dalam soal 
pemilihan jodoh.  Ini kerana perkahwinan bukanlah kontrak perniagaan yang 
berorientasikan keuntungan semata-mata, tetapi ia merupakan “ikatan sosial” 
yang merangkumi pelbagai aspek kemanusiaan seperti pertalian jiwa, kasih 
sayang, ketenangan hati, tuntutan biologi, nasab keturunan, hak, 
tanggungjawab, toleransi dan sebagainya. 

 Hayatilah firman Allah SWT  yang bermaksud:  “Dan kahwinkanlah orangorang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang 
soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki mahupun perempuan.  Jika mereka miskin, 
Allah akan memberikan kekayaan  kepada mereka dengan limpah  kurniaan-Nya, 
kerana Allah Maha Luas rahmat-Nya lagi Maha Mengetahui”.  (an-Nur: 32). 

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

Pages

Blogger news

Powered by Calendar Labs

Blogger templates

Pages - Menu

Tinggalkan pesanan anda =)